Sheba imagery

Carian

Enter a keyword below to search for articles and products.

Ketahui Kenapa Kucing Suka Gigit

Ketahui Kenapa Kucing Suka Gigit

Biarpun rata-rata pemilik kucing seronok melihat kucing mereka meluahkan perasaan kasih sayangnya, tapi pasti ada antara anda yang tertanya-tanya kenapa kucing suka gigit. Ia bukanlah satu masalah yang besar kerana tabiat menggigit merupakan naluri semula jadi seekor kucing, yakni untuk menunjukkan perasaan kasih sayangnya. Berikut merupakan huraian tentang punca kucing menggigit dan apa yang anda boleh lakukan mengenainya.

Punca kucing menggigit?

Rata-rata pemilik kucing bingung memikirkan mengapa kucing mereka suka menggigit dan bagaimana mereka dapat menghentikan tabiat tersebut. Bagaimanapun, kucing biasanya tiada niat yang bersifat agresif atau negatif bagi tabiat tersebut. Sebaliknya, berikut merupakan antara sebab mengapa kucing anda mungkin suka menggigit anda:

  1. Rangsangan berlebihan

    Rangsangan berlebihan merupakan kemungkinan paling besar yang membuat kucing suka gigit anda, tapi tanpa sebarang hasad yang negatif. Meskipun kucing mempunyai sifat kasih sayang dan kemesraan yang tinggi, tapi kebanyakan kucing juga mempunyai batasan dari sudut ruang peribadinya, di mana ia mungkin akan menunjukkan ketidakselesaan apabila batasan tersebut dilampaui.

    Rangsangan berlebihan dalam hal ini bermaksud sesuatu respons yang ditunjukkan kucing terhadap belaian atau sentuhan yang membuatnya berasa kurang selesa. Belaian yang kasar, dan sentuhan pada anggota badan kucing yang si manja tidak senangi juga akan mencetus rangsangan berlebihan, menjurus kepada gigitan yang kurang agresif sebagai amaran. Kucing biasanya tidak bersikap agresif ke atas pemiliknya dan kemungkinan akan menggigit dengan lembut agar ia tidak mencederakan pemiliknya. Aktiviti bermain yang agak kasar seperti kejar-mengejar juga boleh menjurus kepada rangsangan berlebihan, membuat kucing anda menjadi agresif. Berhati-hati dengan tanda-tanda seperti telinga leper, badan kaku, misai ke hadapan, anak mata membesar dan pergerakan ekor kucing.

  2. Gaduh saja-saja

    Kucing, khususnya yang dibela seawal usia kecil biasanya menunjukkan simptom ‘sindrom anak kucing tunggal’ - satu kondisi yang biasanya akan mencorak personaliti kucing tersebut. Anak kucing yang telah bersendirian untuk tempoh yang lama cenderung untuk menjadi lebih vokal selain suka berkepit dengan tuannya. Satu lagi petanda utama bagi sindrom anak kucing tunggal ialah kadang kala ia akan menggigit pemiliknya.

    Anak-anak kucing yang membesar bersama-sama akan bermain sesamanya secara agresif, terutamanya semasa fasa giginya mula bertumbuh, yang membuat ia menggigit kucing lain secara mesra. Biarpun tidak berniat jahat, perbuatan tersebut boleh menjadi satu pengalaman yang agak menyakitkan. Anak kucing yang dibesarkan secara bersendirian biasanya tidak memahami bahawa gigitan manja ini adalah satu pengalaman yang tidak menyelesakan kerana ia sendiri tidak pernah merasai kesannya daripada kucing yang lain. Kucing suka gigit tuannya secara manja, terutamanya semasa aktiviti bermain yang bersifat kasar, ekoran sindrom anak kucing tunggal tersebut.

  3. Kesakitan, ketakutan dan stres

    Sifat agresif biasanya tidak dimiliki oleh kucing domestik. Sebaliknya, kucing seperti ini lazimnya bersikap lebih tenang dalam ruang peribadinya. Sungguhpun begitu, kesakitan, ketakutan, dan stres boleh menyebabkan kucing domestik bertindak di luar jangkaan, lazimnya menjurus kepada tingkah laku yang ganas dan agresif, yang melibatkan gigitan. Kerana kucing menghargai ruang peribadi mereka, perubahan apa pun - tidak kira betapa kecilnya - dalam persekitaran mereka, seperti berpindah ke kawasan baharu, boleh membuat mereka rasa tertekan. Di samping itu, perasaan takut atau kesakitan juga boleh membuat kucing menjadi gusar, lalu mengaktifkan sifat kemandiriannya, di mana ia boleh menunjukkan tanda-tanda keagresifan seperti menggigit, mencakar, dan mendesis dengan kuat antara lainnya. Jadi, jika anda ingin mengelakkan kucing anda daripada terus menggigit atau bertindak ganas, sebaiknya perhatian diberikan kepada perkara yang mungkin menimbulkan perilaku tersebut, lalu bantuan yang bersesuaian dapat diberikan kepada si manja.

  4. Komunikasi

    Meskipun kucing lebih bersifat introvert dan terpelihara, haiwan ini juga sebenarnya amat vokal dan ekspresif terhadap insan kesayangannya, yang melibatkan penggunaan bahasa badan seperti pergerakan ekor, menguis tangan, dan melagakan kepalanya dengan insan tersayang. Ramai juga yang tidak tahu perbuatan menggigit adalah sebahagian daripada bahasa kucing yang boleh membawa pelbagai makna.Kebanyakan kucing peliharaan tidak bersifat agresif, tapi kucing yang bertindak untuk menggigit pemiliknya mungkin menjadi satu bentuk komunikasi bagi kucing tersebut. Kucing yang tertekan atau ketakutan juga boleh bertindak untuk menggigit tuannya.

    Kucing gigit agar ia dapat menarik perhatian anda yang membolehkan ia berkomunikasi mengenai sebarang ketidakselesaan fizikal atau tekanan yang dihadapi, iaitu sesuatu yang mungkin mereka ingin tangani melalui pertolongan anda. Jadi, jika kucing anda mula menggigit anda, cuba lihat jika ada sesuatu yang kucing anda benar-benar perlu tangani, dan langkah ini dapat membantu anda memahami si manja dengan lebih baik selain memenuhi keperluan mereka yang ia sendiri tidak dapat penuhi.

  5. Naluri pemangsa

    Seperti haiwan felin yang lain, kucing juga merupakan seekor haiwan pemangsa yang handal. Biarpun kucing domestik tiada keperluan untuk memburu, ia kadang kala akan membawa pulang habuan buruannya ke rumah untuk dihadiahkan kepada pemiliknya. Jadi, berbekalkan naluri pemburu ini, maka tidak hairanlah jika kucing gigit pemiliknya secara mesra seolah-olah seperti ia sedang memburu. Tambahan lagi, memandangkan kucing suka bermain secara kasar sesamanya, tindakan menggigit dan mencakar secara mesra tanpa sebarang niat negatif boleh dianggap sebagai sesuatu yang natural.

  6. Menunjukkan dominans

    Di habitat liar, kucing mempunyai kecenderungan untuk melindungi kawasannya, yang sering menjurus kepada pertelingkahan sesama kucing. Biarpun kucing domestik bersikap lebih tenang dan manja, tetapi naluri untuk melindungi kawasannya boleh menjelma jika ruang peribadinya diceroboh. Dalam situasi ini, kucing akan menjadi agresif dan menunjukkan dominans, menjurus kepada tindakan menggigit. Di samping itu, kucing suka gigit juga sebagai respons kepada sesuatu ancaman, yang mencakupi pencerobohan ruang peribadinya, tidak kira sama ada pencerobohan tersebut dilakukan oleh haiwan ataupun manusia. Sungguhpun menyakitkan, kebanyakan kucing tidak akan menggigit dengan kuat sebagai tanda dominans, sebaliknya, akan menggunakan sedikit tekanan pada gigitannya sebagai amaran.

Bagaimanakah caranya untuk menghentikan kucing daripada menggigit?

Biarpun perbuatan menggigit merupakan bahasa kucing yang normal dan tidak dapat dielakkan sepenuhnya, anda boleh memastikan kucing anda tidak menggigit secara agresif dengan melakukan yang berikut:

  1. Kekalkan respons yang konsisten

    Gigitan kucing biasanya bukan disebabkan oleh sifat agresif atau dominans. Sebaliknya, gigitan yang dibuat oleh kebanyakan kucing domestik adalah bersifat mesra semasa bermain atau ditujukan untuk menarik perhatian. Jadi, jika kucing anda suka menggigit, ia mungkin menunjukkan bahawa ia sedang cuba untuk berkomunikasi dengan anda. Jika anda konsisten mengekang amalan kucing tersebut, ia dapat menggalakkan kucing anda untuk elak menggigit sebagai satu bentuk komunikasi.

  2. Elak bermain dengan kucing menggunakan tangan

    Ada pemilik kucing yang suka bermain dengan menghulurkan tangan mereka kepada si manja yang menyebabkan kucing gigit tangan mereka. Perbuatan ini boleh membuat kucing anda melihat tangan anda sebagai mainan yang mereka boleh ‘buru’, lalu menggalakkannya untuk menggigit atau mencakar, termasuk di luar waktu bermain. Untuk elak kena gigit kucing, jangan gunakan tangan anda sebagai alat untuk bermain, sebaliknya anda boleh memanfaatkan pelbagai jenis mainan yang dikhaskan untuk kucing.

  3. Sediakan mainan yang sesuai untuk kucing anda menggigit

    Jika anda membiasakan amalan penggunaan tangan sebagai mainan untuk kucing, maka kucing anda akan sentiasa melihat tangan anda sebagai objek ‘buruan’. Jadi, jangan hulurkan tangan anda sebagai mainan untuk si manja anda gigit. Mainan gigit untuk kucing boleh didapati di kedai haiwan peliharaan dan ia hadir dalam pelbagai bentuk yang menarik. Anda juga boleh mendapatkan mainan gigit ‘catnip’ yang kucing anda pasti sukai.

  4. Cuba tabiat gantian

    Penerapan tabiat gantian bagi gigitan kucing merupakan antara kaedah yang paling efektif untuk elak kena gigit kucing. Latihan tabiat gantian melibatkan satu pendekatan untuk memperkukuhkan amalan yang positif. Jika kucing anda cuba menggigit anda, berikan snek atau mainan gigit untuk mengubah dan menggantikan tabiat tersebut. Anda juga boleh menggunakan alat klik bagi latihan tabiat gantian.

  5. Teknik melepaskan diri

    Sebaik sahaja kucing gigit tangan kita, kita akan cuba menarik tangan dengan serta-merta daripada cengkaman si manja. Bagaimanapun, dengan menarik tangan secara melulu, dari perspektif seekor kucing, ia akan kelihatan seperti mangsanya yang cuba melepaskan diri, justeru membuat kucing anda menggigit dengan lebih kuat, lalu berpotensi untuk menyebabkan kecederaan. Jadi, elakkan daripada menarik tangan anda, dan sebaliknya, tolak tangan atau mana-mana anggota tubuh yang digigit ke arah si manja. Tindakan ini biasanya tidak dijangkakan oleh kucing anda lalu boleh membuat ia melepaskan cengkamannya.

  6. Tawarkan makanan/snek yang lazat

    Nak elak kena gigit kucing? Cuba berikan si manja snek kucing yang boleh membuatkan kucing anda lebih sayang. Makanan kucing premium Sheba ialah pilihan yang bagus dan lazat untuk menggalakkan kucing anda memperbaiki tabiatnya dan menjadikannya lebih penyayang.

Cara merawat luka gigitan kucing

Selain cuba memahami kenapa kucing suka gigit, ramai pemilik kucing juga ingin tahu apa yang perlu dibuat bagi gigitan yang dialami. Gigitan kucing boleh menyakitkan, tapi anda tidak perlu risau kerana ia dapat dirawat dengan mudah untuk mencegah sebarang kecederaan yang berpanjangan.

Namun, ingat bahawa gigitan oleh kucing liar sebenarnya boleh menyebabkan jangkitan. Jadi, anda dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda digigit oleh kucing liar, dan pastikan sama ada anda perlu mengambil suntikan imunisasi tetanus. Meskipun peluang berlakunya jangkitan adalah jauh lebih rendah jika gigitan tersebut diakibatkan oleh kucing domestik, tapi sebaiknya kesan luka gigitan tersebut dirawat dengan ubat antibakteria.

Jangan hukum kucing anda!

Insiden gigitan kucing boleh menjadi satu pengalaman yang menyakitkan dan merimaskan, tapi jika anda ingin mengekang perbuatan tersebut, jangan sesekali hukumnya dengan meneriak, menyakitkan atau menyembur air padanya. Kucing anda sebenarnya tidak berniat pun untuk menyakitkan anda dengan sengaja, jadi seeloknya ia tidak dihukum secara melampau. Jika anda bertindak kasar dengan kucing anda, ia mungkin boleh membuat kucing tersebut membenci anda. Malah, kucing biasanya tidak memahami sebab di sebalik sesuatu hukuman, jadi ia bukanlah satu kaedah yang efektif untuk mengekangnya daripada menggigit. Sebaliknya, dekati isu tersebut secara konsisten dan tenang untuk melihat hasil yang lebih baik, justeru mengelakkan kucing anda daripada menjadi semakin ganas.

Soalan-Soalan Lazim

 
  • Kenapa kucing saya suka gigit saya?

    Kucing merupakan haiwan yang suka berkomunikasi dan meluahkan perasaan kasih sayangnya dengan cara yang tersendiri. Jadi, kenapa kucing suka gigit? Dalam bab berkomunikasi, gigitan mesra yang dibuat oleh kucing merupakan bahasa kucing untuk menunjukkan kasih sayang, walaupun ia mungkin menyakitkan anda.

  • Kenapa kucing suka gigit?

    Bukan semua kucing yang menggigit atas sikap agresifnya. Jadi, ingat bahawa ia mungkin sedang cuba untuk meluahkan perasaan kasih sayangnya terhadap anda, dan bukannya untuk menyakitkan anda dengan sengaja.

  • Bagaimana anda dapat menghentikan kucing daripada menggigit anda?

    Untuk elak kena gigit kucing, latihan tabiat gantian boleh menjadi satu kaedah yang efektif untuk mengekang amalan menggigit oleh kucing anda. Penggunaan permainan gigit untuk kucing atau makanan dan snek premium daripada Sheba juga boleh menggalakkan ia mengubah tabiatnya.

  • Pada usia apakah kucing akan berhenti menggigit?

    Kucing biasanya suka menggigit pada usia kecil atau semasa fasa giginya mula bertumbuh. Lama-kelamaan, kucing akan berhenti menggigit anda. Kebanyakan anak kucing akan hilang kecenderungan untuk menggigit setelah ia menginjak usia 1 atau 2 tahun.

  • Mengapa kucing gigit saya semasa saya membelainya?

    Ramai pemilik kucing yang bertanya mengapa kucing menggigit mereka semasa ia dibelai. Kucing tidak suka anggota-anggota badannya yang tertentu disentuh. Jadi, jika anda membuat ia berasa tidak selesa, maka si manja mungkin akan menggigit sebagai tanda amaran.

Artikel berkaitan:

SHEBA® BELI DALAM TALIAN

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah

SHEBA® BELI DALAM TALIANproduct

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah