Sheba imagery

Carian

Enter a keyword below to search for articles and products.

Ketahui Kenapa Kucing Muntah

Ketahui Kenapa Kucing Muntah

Tapi kenapa kucing muntah, ya? Reaksi muntah oleh kucing mungkin disebabkan oleh punca-punca yang remeh seperti gumpalan bulu, yang terbentuk melalui bulu-bulu lusuh yang ditelan oleh si manja semasa ia merapikan dirinya. Malah, kucing juga akan mengunyah rumput atau daun-daun hijau untuk memaksa dirinya muntah, supaya ia dapat menyingkirkan makanan yang tidak dihadam, bendasing, ataupun gumpalan bulu.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh pandang enteng tentang reaksi muntah ini, kerana ia juga mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius seperti ketidakhadaman, keracunan makanan, serta reaksi terhadap parasit. Jadi, sebagai pemilik kucing, kita perlu memahami mengapa kucing memuntah dan cara untuk menangani masalah tersebut.

Jenis komplikasi muntah dialami kucing

  1. Reaksi muntah kronik

    Reaksi muntah kronik merupakan satu kondisi serius bagi kucing dan umumnya didiagnos apabila kucing didapati terus menunjukkan reaksi muntah selama lebih sebulan. Reaksi muntah kronik biasanya mungkin berpunca daripada masalah kesihatan serius dan pemilik kucing seharusnya mendapatkan perhatian segera daripada pakar haiwan untuk diagnosis dan juga rawatan yang bersesuaian. Reaksi muntah kronik juga mungkin diiringi dengan simptom-simptom fizikal seperti sawan, kelesuan, cirit-birit, dan pernafasan tidak sekata. Malah, reaksi muntah kronik turut dikaitkan dengan disfungsi organ, seperti pankreatitis, kegagalan hati dan buah pinggang, dan lain-lain.

  2. Reaksi muntah akut

    Kucing akan didiagnos dengan komplikasi muntah akut apabila ia didapati terus memuntah selama sekitar 2 hingga 3 hari. Meskipun reaksi muntah akut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, ia biasanya tidak membawa maut dan boleh dirawat dengan mudah menggunakan ubat serta penawar semula jadi. Reaksi muntah akut lazimnya disebabkan oleh hal-hal remeh seperti gumpalan bulu yang ditelan si manja, yang tidak memerlukan bantuan perubatan. Reaksi muntah akut juga boleh berpunca daripada keracunan makanan dan ketidakhadaman, yang boleh ditangani dengan ubat-ubatan atas kaunter ataupun penawar semula jadi yang boleh disediakan di rumah.

Punca yang membuat kucing muntah

Biarpun reaksi muntah oleh kucing menjadi penunjuk yang paling jelas bahawa ia sedang mengalami sesuatu masalah, tapi dari satu lagi segi, ia juga merupakan satu simptom yang sukar untuk difahami puncanya. Oleh itu, maklumat berikut menghuraikan antara sebab kenapa kucing muntah:

  • Toksin

    Toksin merupakan antara sebab utama bagi reaksi muntah akut dalam kalangan kucing. Bahan toksik yang ditelan boleh menjejaskan metabolisme kucing, menjurus kepada ketidakseimbangan hormon, atau menyebabkan kucing anda kerap muntah. Tambahan lagi, ia juga boleh mengakibatkan masalah seperti sawan, cirit-birit, kelesuan, dan ketidakstabilan fizikal. Bendasing yang ditelan, seperti makanan tercemar juga boleh bersifat toksik, lalu membuat kucing muntah.

  • Ubat

    Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan kucing anda kerap muntah. Ketoksikan ubat bagi kucing biasanya dikaitkan dengan masalah gastrousus dan boleh mengakibatkan emesis, yang bermaksud proses memuntah. Kucing anda mungkin akan muntah akibat ketoksikan sesuatu ubat, terutamanya jika ia perlu menjalani rawatan perubatan yang agak berat seperti pengambilan antibiotik, antikeradangan, dan kemoterapi.

  • Diet

    Kucing suka menikmati pelbagai jenis makanan, dan bukan semua kucing yang selesa mengamalkan diet yang terkawal, terutamanya jika ia perlu menurunkan berat badannya. Perubahan mendadak dalam diet si manja, serta rangkuman sesuatu yang baharu dalam makanannya, boleh mengganggu perut kucing anda, lalu berpotensi untuk membuat kucing muntah. Intoleransi pemakanan atau pengambilan makanan basi juga boleh membuat si manja muntah.

  • Masalah usus

    Muntah merupakan antara simptom paling lazim bagi masalah usus dalam kalangan kucing. Dengan menelan bendasing atau bahan-bahan tercemar, seperti makanan basi atau najis, kucing anda boleh mengalami masalah usus yang serius, lazimnya menjurus kepada keradangan pada dinding perut, ulser, dan juga reaksi muntah. Tindak balas bakteria dan parasit, khususnya daripada cacing pita dan cacing kerawit juga boleh membuat kucing anda muntah.

  • Disfungsi organ

    Ingin tahu sebab paling serius kenapa kucing muntah? Disfungsi organ merupakan masalah kesihatan yang serius, dan ia perlu ditangani segera bagi mengelakkan keadaan si manja anda menjadi lebih parah, atau maut. Disfungsi organ, seperti pankreatitis, kegagalan hati dan buah pinggang, boleh menjurus kepada pengumpulan sisa dalam tubuh si manja, lalu memaksanya untuk muntah.

  • Masalah endokrin

    Reaksi muntah yang dialami kucing juga boleh diakibatkan oleh ketidakseimbangan hormon dalam badan, khususnya dicetuskan oleh kelenjar endokrin. Hipertiroidisme, atau rembesan berlebihan daripada kelenjar tiroid boleh menyebabkan si manja muntah. Di samping itu, ketoasidosis diabetes dan paras kalsium tinggi dalam badan kucing turut berpotensi untuk mencetus reaksi muntah.

  • Masalah jangkitan

    Satu lagi sebab kenapa kucing muntah ialah reaksi yang diakibatkan oleh jangkitan daripada pengambilan makanan tercemar, yang lazimnya membuat perut kucing terganggu selain menyebabkan keradangan usus. Bukan itu sahaja, jangkitan yang dicetuskan oleh tindak balas bakteria, virus dan parasit dalam perut si manja juga boleh membuatnya muntah. Reaksi yang tercetus daripada sesuatu ubat atau makanan baharu turut dikaitkan dengan komplikasi seperti muntah, cirit-birit, dan kesakitan abdomen.

Mendiagnos punca reaksi muntah berdasarkan kandungan atau jenis-jenis muntah kucing

Antara cara yang paling mudah untuk mengenal pasti punca reaksi muntah oleh kucing adalah dengan memeriksa warna dan tekstur muntahnya. Berikut merupakan jenis-jenis muntah kucing yang paling lazim serta puncanya:

  • Muntah berwarna kuning

    Muntah kucing yang kekuningan biasanya disumbang oleh makanan kucing yang tidak dihadam. Jenis muntah kucing ini disebabkan oleh ketidakhadaman dan mempunyai rona kuning akibat kewujudan partikel makanan yang tidak terhadam. Muntah yang kekuningan juga boleh disebabkan oleh reaksi bakteria atau parasit.

  • Muntah yang jernih

    Muntah yang jernih bukan selalunya berpunca daripada masalah kesihatan yang serius. Sebaliknya, muntah kucing jenis ini biasanya disebabkan oleh gumpalan bulu yang tidak dihadam. Kucing akan menjilat bersih dirinya, dan dalam proses tersebut ia biasanya akan menelan bulu-bulu lusuh yang akan terkumpul dalam tubuh mereka, lalu dimuntahkan bersama lendiran perutnya, justeru membuat muntah kucing yang mengandungi gumpalan bulunya kelihatan jernih.

  • Muntah berwarna putih/berbuih

    Muntah kucing yang berwarna putih atau berbuih lazimnya tidak membahayakan kucing. Ini adalah kerana muntah yang kelihatan seperti ini juga kemungkinan besar berpunca daripada gumpalan bulu yang ingin disingkirkan oleh kucing.

  • Muntah berdarah

    Tahukah mengapa muntah kucing anda berwarna merah pekat? Muntah berdarah atau hematemesis biasanya disebabkan oleh isu kesihatan yang serius, seperti pendarahan dalaman, lesi, keradangan usus dan juga ulser. Jangkitan bakteria seperti virus panleukopenia felin atau kecederaan traumatik juga boleh menyebabkan kucing memuntahkan darah.

  • Muntah berwarna perang

    Muntah keperangan biasanya disebabkan oleh kandungan darah beku. Ia mungkin berpunca daripada pendarahan pada bahagian perut atau dinding usus, ataupun ulser. Muntah kucing anda juga mungkin akan kelihatan seperti ini jika ia termakan sesuatu yang tajam, menyebabkan kecederaan dalaman.

  • Makanan separa hadam dalam muntah

    Meskipun kebanyakan muntah yang mengandungi makanan separa hadam berpunca daripada isu tidak membahayakan seperti gumpalan bulu dan halangan dalam tubuh si manja, namun kes-kes serius seperti pankreatitis, keracunan, jangkitan parasit, dan ketidakhadaman mungkin memerlukan perhatian pakar.

Cara untuk mencegah kucing memuntah

Jika anda ingin mencari penawar semula jadi untuk masalah kucing memuntah, ambil maklum bahawa reaksi muntah biasanya merupakan satu proses organik untuk kucing menjaga kesihatannya dengan menyingkirkan bendasing dan toksin daripada tubuh. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan antara cara merawat kucing muntah yang efektif.

  1. Rapikan ia selalu untuk mengurangkan masalah gumpalan bulu

    Antara punca utama kucing selalu muntah ialah gumpalan bulu yang sering ditelan oleh si manja. Salah satu cara yang efektif untuk mengurangkan kekerapan kucing anda memuntahkan gumpalan bulunya adalah dengan merapikan kucing anda selalu, kerana perapian dapat menyingkirkan bulu-bulu gugur dan lusuh daripada kulit si manja.

  2. Hidangkan makanan/snek kucing yang berkualiti

    Keracunan makanan dan ketidakhadaman boleh menyebabkan kucing anda memuntahkan partikel makanan yang tidak terhadam. Bagi mengelakkan isu ini, hidangkan kepada si manja makanan dan snek kucing yang berkualiti Contohnya ialah makanan dan snek kucing premium Sheba yang diperbuat daripada ramuan berkualiti tinggi. Di samping itu, makanan dan snek kucing Sheba juga hadir dengan rasa dan perisa yang tiada tandingannya, serta sesuai untuk perut kucing.

  3. Akses kepada air yang bersih

    Reaksi muntah dalam kalangan kucing boleh berpunca daripada air minumannya yang tercemar, yang merupakan wadah pembiakan bagi bakteria dan juga parasit bawaan air. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kucing anda mempunyai akses ke atas air minuman bersih yang bebas daripada bendasing yang boleh memudaratkan kesihatan kucing anda.

Soalan-Soalan Lazim

  • Bilakah reaksi muntah kucing menjadi satu isu yang membimbangkan?

    Reaksi muntah akut yang dialami kucing biasanya tidak membahayakan dan boleh dirawat dengan mudah melalui ubat-ubatan atas kaunter. Bagaimanapun, jika kucing anda memuntahkan darah atau kerap muntah selama lebih sebulan, maka sebaiknya anda mendapatkan nasihat pakar haiwan.

  • Apa yang anda boleh berikan kepada kucing untuk menangani masalah muntahnya?

    Ubat-ubatan atas kaunter seperti Maropitam Citrate dan Famotidine merupakan penawar yang mudah dan efektif bagi isu muntah dialami kucing. Namun, anda juga harus memastikan kucing anda mempunyai akses kepada makanan dan air yang bersih untuk memastikan ia kekal terhidrat dan tidak mengalami sebarang jangkitan perut.

  • Apakah maksud di sebalik jenis-jenis muntah kucing?

    Muntah kucing yang kehijauan dan kekuningan mungkin berpunca daripada ketidakhadaman dan reaksi bakteria, manakala muntah kucing yang jernih dan berbuih biasanya disebabkan oleh gumpalan bulunya. Muntah berwarna merah atau keperangan pula mungkin diakibatkan oleh kewujudan darah dalam muntah si manja, yang memerlukan perhatian segera daripada doktor haiwan.

  • Penawar semula jadi apakah yang boleh saya berikan kepada kucing untuk masalah muntahnya?

    Di samping cuba memahami mengapa kucing memuntah, penting juga untuk kita mengetahui cara merawat kucing muntah. Jika kucing anda didapati sering memuntah untuk jangka waktu yang agak lama, anda boleh mengamalkan penawar semula jadi seperti menghidangkan air minuman yang bersih dan makanan yang dimasak sendiri, di samping memanjakan kucing anda untuk mengurangkan stresnya.

  • Bagaimana saya dapat bantu meredakan perut kucing yang mengalami reaksi muntah?

    Reaksi muntah yang disebabkan oleh ketidakhadaman boleh dirawat dengan menghidangkan makanan yang dimasak sendiri, ataupun makanan yang tidak berat untuk perut si manja serta yang senang untuk dihadam. Memastikan kucing anda mempunyai akses kepada air bersih juga boleh menjadi satu bentuk penawar semula jadi bagi masalah muntah dialami kucing.

Artikel berkaitan:

SHEBA® BELI DALAM TALIAN

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah

SHEBA® BELI DALAM TALIANproduct

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah