Sheba imagery

Carian

Enter a keyword below to search for articles and products.

Apa Yang Perlu Dilakukan Apabila Kucing Bersin

Apa Yang Perlu Dilakukan Apabila Kucing Bersin

Mengapa kucing bersin atau apakah cara merawat kucing bersin yang betul? Seperti manusia, alahan juga adalah satu perkara yang lazim bagi kucing. Alahan kucing disebabkan oleh tindak balas imun terhadap alergen atau elemen pencetus alahan kucing yang berada di persekitaran mereka. 

Alahan kucing biasanya diakibatkan oleh anasir yang memasuki tubuh si manja tanpa sengaja, juga semasa ia bernafas atau bersentuhan dengan elemen pencetus alahan kucing. 

Alahan bagi kucing juga biasanya tidak membahayakan, tetapi gejala-gejala yang kurang menyenangkan seperti kucing bersin, mata dan hidung berair, kegatalan, cirit-birit, dan muntah, boleh membuat pemilik kucing berasa khuatir lalu tertanya-tanya mengapa kucing mereka bersin atau cara merawat kucing bersin yang betul.

Apakah itu Alahan bagi Kucing?

Apabila alergen memasuki tubuh badan kucing, ia akan mengaktifkan sistem imunnya, menyebabkan reaksi alahan berlaku. Contoh reaksi tersebut ialah demam, kegatalan kulit, kucing bersin, atau hidung dan mata berair. Biarpun kebanyakan jenis alahan tidak perlu diberikan perhatian pakar, tapi ia mungkin kurang menyenangkan bagi si manja anda, boleh membuatnya sering menjilat dan menggigit kulitnya, lalu menyebabkan kehilangan bulu dan meningkatkan lagi ketidakselesaan yang dialami oleh si manja. 

Tiada pemilik kucing yang sanggup melihat anak bulus mereka berada dalam kesusahan akibat alahan. Tapi tahukah anda bahawa alahan sebenarnya merupakan satu perkara yang lazim bagi kucing dan ia tidak memudaratkan kesihatan kucing anda. Namun begitu, alahan, termasuk alahan terhadap sesuatu makanan merupakan satu kondisi kekal yang tidak boleh dirawat atau dicegah. Oleh itu, anda boleh mendapatkan nasihat pakar haiwan jika kucing anda didapati mengalami gejala alahan yang membuat anda berasa khuatir.

Jenis-Jenis Alahan bagi Kucing

Pakar haiwan mengiktiraf enam jenis alahan yang utama ini bagi kucing:

  • Alahan makanan - Alahan makanan merupakan satu perkara yang lazim bagi kucing, diakibatkan oleh pengambilan bahan tertentu yang terkandung di dalam makanan, iaitu bahan yang dianggap sebagai ancaman kepada sistem imun si manja.
  • Alahan pepijat - Gigitan daripada pepijat dan kutu juga boleh mengakibatkan dermatitis pepijat, satu reaksi alahan yang boleh menyebabkan kegatalan kulit selain membuat kucing bersin dan hidungnya berair.
  • Alahan atopik - alahan kucing yang disebut sebagai atopik berlaku apabila kucing terdedah kepada alergen yang wujud berhampiran mereka, ia termasuk debunga, habuk, rumpai, dan kulapuk.
  • Bronkitis alahan, atau alahan kucing - Alahan ini boleh berlaku apabila kucing anda menyedut alergen yang sensitif baginya, termasuk kulapuk, habuk, dan debunga.

Gejala Alahan bagi Kucing

  • Alahan makanan

    Alahan makanan didapati boleh menyebabkan gejala-gejala seperti cirit-birit, muntah, kembung perut, dan hipersalivasi. Kes alahan makanan yang teruk juga boleh menyebabkan kegatalan di bahagian muka, leher, dan kepala.

  • Dermatitis atopik

    Dermatitis atopik bagi kucing boleh disebabkan oleh reaksi seperti alahan kepada makanan, di samping konjunktivitis dan membuat kucing bersin.

  • Dermatitis alahan pepijat

    Alahan pepijat bagi kucing didapati memberi kesan terhadap kulit, menyebabkan kegatalan yang teruk di bahagian kepala dan leher, dan juga di bahagian abdomen dan paha. Ia akan membuat kucing menggaru, menggigit dan menggosok anggota badan yang terkesan untuk cuba meredakan kegatalan tersebut.

  • Bronkitis alahan

    Bronkitis alahan dapat dikenal pasti menerusi gejala seperti kucing selalu bersin, hidung dan mata berair. Kes bronkitis alahan yang teruk ada kalanya bukan sahaja membuat kucing selalu bersin, tapi juga boleh membuatnya semput, batuk, dan sukar bernafas.

Bagaimana Alahan Kucing Dirawat?

Alahan bagi kucing seharusnya dicegah dengan mengelakkan alergen memasuki persekitaran kucing, yakni dengan:

  • Menggunakan bahan kawalan pepijat dan kutu yang berpiawaian
  • Menggunakan bekas najis bebas habuk
  • Memandikan si manja untuk melegakan kegatalan
  • Memastikan rumah anda bersih daripada kotoran dan habuk
  • Menyediakan diet yang sihat untuk kucing
  • Kerap membersihkan tempat tidur kucing

Kesimpulan

Sebagai pemilik kucing, agak sukar untuk kita melihat si manja mengalami alahan, lalu membuat ramai yang tertanya-tanya apakah cara merawat kucing bersin yang efektif. Bagaimanapun, sebelum anda bergegas ke klinik haiwan setiap kali si manja anda mengalami alahan, ambil maklum bahawa alahan bagi kucing merupakan satu perkara yang biasa, dan tiada solusi kekal yang boleh digunakan jika kucing kerap bersin dan juga bagi alahan kucing. 

Alahan bagi kucing adalah kurang menyenangkan tetapi ia tidak akan membawa maut, dan ia biasanya akan surut dalam tempoh beberapa hari tanpa perlu diberi rawatan perubatan. Bagaimanapun, sebagai pemilik kucing yang bertanggungjawab, kita haruslah memberi perhatian kepada si manja dengan mengawasi reaksi mereka terhadap alahan kucing.

Soalan-Soalan Lazim

  • Apakah kaedah rawatan semula jadi untuk alahan kucing?

    Selain mengambil langkah pencegahan seperti membersihkan bekas najis dengan kerap dan memandikan kucing, anda juga boleh menghidangkan cuka epal, yang mengandungi antihistamin, membantu melegakan gejala seperti kucing kerap bersin dan hidung berair.

  • Apa yang mencetus alahan bagi kucing?

    Alahan kucing boleh disebabkan oleh pelbagai anasir pencetus alahan yang mungkin terdapat di persekitaran kucing. Selain kotoran, habuk, dan debunga, alahan kucing juga boleh disebabkan oleh gigitan pepijat dan kutu, di samping bahan-bahan tertentu yang terkandung di dalam makanan.

  • Apa yang patut saya hidangkan kepada kucing yang mempunyai alahan?

    Cuka epal, yogurt dan jeruk kubis mengandungi antihistamin dan probiotik yang boleh menangani alahan terhadap makanan. Bagaimanapun, jika kucing anda menunjukkan gejala-gejala alahan, maka sebaiknya anda mendapatkan nasihat doktor haiwan dan buat penyesuaian dalam diet kucing anda. 

  • Berapa lamakah alahan kucing akan berpanjangan?

    Biarpun alahan kucing agak kurang menyenangkan, gejala alahan sebenarnya tidak mengancam kesihatan dan jangka hayat kucing, dan didapati akan surut dalam tempoh beberapa hari tanpa perlu memberikan rawatan perubatan.

  • Bolehkah pengambilan air bantu menangani alahan kucing?

    Pengambilan air yang mencukupi boleh menangani reaksi alahan dengan mengawal pengeluaran histamina dalam tubuh badan kucing anda. Pengambilan air juga membolehkan si manja kekal terhidrat jika reaksi alahan mereka menyebabkannya muntah dan cirit-birit, yang boleh menjurus kepada dehidrasi.

Artikel berkaitan:

SHEBA® BELI DALAM TALIAN

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah

SHEBA® BELI DALAM TALIANproduct

Klik untuk membeli daripada mana-mana peruncit di bawah