Sembelit merupakan satu masalah lazim yang dialami kucing dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Sungguhpun begitu, pengumpulan najis yang tidak normal di dalam usus dan ketidakupayaan untuk mengeluarkannya daripada badan boleh menjadi satu pengalaman yang kurang menyenangkan untuk si bulus anda. Sembelit bagi kucing merupakan satu isu yang lazimnya berjangka pendek, tetapi jika masalah tersebut berlarutan ia boleh menjadi lebih buruk dan lebih menyakitkan untuk kucing anda. Sebagai pemilik kucing, anda perlu memainkan peranan dalam hal ini untuk membantu kucing anda, justeru artikel ini dirumus untuk menjelaskan secara ringkas mengenai masalah sembelit bagi kucing berserta kaedah rawatan di rumah tanpa perlu mendapatkan ubat sembelit kucing.

TANDA-TANDA KUCING SEMBELIT

Kucing kelabu dan putih berehat dengan mata tertutup sambil berbaring di atas pasir dalam rumah haiwan peliharaan biru.

  1. TIADA PENGELUARAN NAJIS SEMASA MEMBUANG AIR BESAR

    Antara tanda kucing sembelit yang utama ialah ketiadaan najis semasa kucing cuba membuang air besar. Masalah ini berpunca daripada saluran usus tersumbat yang akan menghalang pengeluaran najis.

  2. KERAP MENGUNJUNGI BEKAS NAJIS

    Kucing mungkin akan cuba memaksa dirinya untuk membuang air besar, justeru akan kerap pergi ke bekas najisnya.

  3. MUNTAH

    Sembelit boleh mengakibatkan masalah gastrousus yang lain seperti mual, ketidakhadaman, dan muntah.

  4. KEHILANGAN SELERA MAKAN

    Satu lagi tanda kucing sembelit ialah kehilangan selera makan, ekoran ketidakselesaan yang dialami oleh kucing.

  5. SAKIT ABDOMEN

    Sakit pada bahagian abdomen merupakan penunjuk yang jelas bahawa kucing tersebut sedang mengalami sembelit.

  6. KEHILANGAN TENAGA

    Akibat sembelit, kucing anda juga akan berasa tidak selesa dan kurang bertenaga.

  7. HILANG MINAT UNTUK BERINTERAKSI

    Satu lagi tanda kucing sembelit ialah kehilangan minat akibat ketidakselesaan yang dialami kucing. Kucing yang terpaksa melalui masalah sembelit akan kehilangan minat untuk berinteraksi dengan kucing atau insan lain.

APAKAH PUNCA KUCING MENGALAMI SEMBELIT?

  1. GUMPALAN BULU

    Pengumpulan gumpalan bulu dalam sistem penghadaman si manja akan menyebabkan sekatan, justeru menjadikan kucing sembelit.

  2. KEKURANGAN SERAT DALAM DIET

    Kekurangan serat dalam diet si manja juga berpotensi untuk menjadikan kucing sembelit. Anda boleh merangkumkan sayur-sayuran berserat dalam diet si manja anda untuk mengatasi masalah ini.

  3. DEHIDRASI

    Dehidrasi mengurangkan kelembapan dalam najis, justeru mengganggu proses pembuangan air besar lalu menjadikan kucing sembelit.

  4. OBESITI DAN/ATAU KEKURANGAN AKTIVITI FIZIKAL

    Kenaikan berat badan yang berlaku dengan cepat akibat pembentukan lemak dalam badan kucing berpotensi untuk menutup seluruh atau sebahagian daripada rongga usus.

  5. KECEDERAAN PELVIS

    Sembelit juga boleh berlaku jika kucing anda pernah mengalami kecederaan pada bahagian pelvis. Kecederaan pelvis boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan, mendorong kucing anda untuk tidak membuang air besar. Pengumpulan najis dalam situasi ini boleh menjadikan kucing sembelit.

CARA MERAWAT KUCING SEMBELIT

Kucing coklat menunggu di dalam kotak pasir.

Kalau kucing sembelit nak buat apa, ya? Rawatan untuk sembelit kucing tidak semestinya memerlukan penggunaan ubat sembelit kucing. Jika kaedah rawatan yang anda cuba sendiri di rumah tidak menunjukkan hasil yang diinginkan, anda patut mendapatkan khidmat pakar haiwan kerana sembelit yang berlarutan boleh mengakibatkan megakolon, lalu pembedahan mungkin terpaksa dilakukan. Megakolon biasanya dirawat dengan membuang najis yang terkumpul di dalam usus melalui pembedahan. Untuk mengelakkan kes ini, pemilik kucing harus peka mengenai cara-cara merawat kucing sembelit seperti menukar diet si manja kepada makanan tinggi serat misalnya.

Ingat bahawa sembelit merupakan antara masalah kesihatan yang paling lazim dialami kucing, dan bukan selalunya perlu diberikan perhatian profesional. Malah, kebanyakan kucing yang mengalami sembelit akan pulih seperti sedia kala selepas sehari dua dengan rawatan yang diberi sendiri oleh pemilik kucing. Jadi, melainkan kondisi sembelit kucing anda agak serius, anda tidak perlu membeli ubat sembelit kucing bagi masalah tersebut.

CARA MERAWAT KUCING SEMBELIT DI RUMAH

  1. TINGKATKAN HIDRASI

    Ramai yang bertanya, kalau kucing sembelit nak buat apa? Sebenarnya antara solusi yang paling ringkas ialah pemberian air. Ya, betul! Jika kucing anda mengalami sembelit, cuba tingkatkan pengambilan air si manja anda bagi memudahkan najis bergerak di dalam usus.

  2. TINGKATKAN AKTIVITI FIZIKAL

    Aktiviti fizikal terbukti berkesan untuk menggalakkan proses pembuangan air besar bagi kucing yang mengalami sembelit.

  3. TINGKATKAN PENGAMBILAN SERAT

    Elemen serat yang bersifat kasar boleh bantu melapangkan usus tersumbat.

  4. KURANGKAN STRES

    Tekanan juga boleh menjadi faktor yang menyebabkan sembelit pada kucing, jadi dengan mengurangkan tekanan pada kucing, ia juga boleh membawa kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.

  5. JAGA BERAT BADAN

    Obesiti merupakan faktor utama yang menyebabkan sembelit dalam kucing. Pastikan berat badan kucing anda berada di tahap yang sihat bagi mengelakkan masalah ini.

Artikel berkaitan: