SEBAB KUCING SUKA MENJILAT KITA
Kucing menghabiskan sebahagian besar harinya (sehingga 8% masa berjaga kucing) untuk mendandan diri, menjadikan menjilat sebagai tingkah laku biasa bagi kucing. Tetapi jika kucing anda menjilat anda, ia boleh menjadi tanda kasih sayang, dan tingkah laku ini selalunya mempunyai makna yang lebih mendalam. Jika anda tertanya-tanya, "Mengapa kucing menjilat tangan?" atau "apa maksudnya apabila kucing menjilat anda?" - teruskan membaca. Artikel ini membongkar pelbagai sebab mengapa kucing menjilat kita.
MENGAPA KUCING SAYA MENJILAT SAYA?
Kucing mempamerkan tingkah laku menjilat atas pelbagai sebab; kebanyakan kucing suka menjilat dan menggigit tangan, yang mana ia berakar umbi dalam naluri serta tingkah laku sosial kucing. Berikut ialah beberapa penjelasan umum mengapa kucing suka menjilat secara umumnya dan pelajari mengapa kucing menjilat kita:
KUCING ANDA SEDANG MENJALIN IKATAN DENGAN ANDA
Menjilat selalunya merupakan tingkah laku yang melambangkan ikatan, sama seperti cara ibu kucing mengasuh anak kucingnya. Apabila kucing anda menjilat anda, kucing itu berkemungkinan cuba mengeratkan ikatan antara anda berdua. Tindakan dandanan ini adalah tanda kasih sayang dan kepercayaan.
KUCING ANDA SEDANG MENCARI PERHATIAN
Jika anda bimbang tentang mengapa kucing anda menjilat anda, kucing kesayangan anda mungkin telah mengetahui bahawa tingkah laku sebegitu akan dapat menarik perhatian anda. Jika anda membalas jilatan kucing dengan membelai atau bercakap dengannya, tingkah laku itu akan diperkukuh, dan kucing anda akan menjadikannya sebagai alat untuk mendapatkan interaksi.
KUCING ANDA MENUNJUKKAN TINGKAH LAKU SEPERTI ANAK KUCING
Jika kucing anda bercerai susu terlalu awal, ia mungkin akan menunjukkan tingkah laku seperti anak kucing iaitu menjilat dan menguli. Ini boleh menjadi cara untuk kucing anda mencari keselesaan yang mengingatkan kepada penyusuan.
KUCING ANDA SUKA RASA KULIT ANDA
Salah satu sebab kenapa kucing suka menjilat anda adalah kerana ia mungkin mendapati rasa kulit anda menarik kerana terdapat sisa losyen, peluh, atau bahkan zarah makanan. Namun, berhati-hatilah kerana sesetengah produk topikal boleh menjadi toksik kepada kucing.
KUCING ANDA BERASA CEMAS
Menjilat boleh menjadi tingkah laku pengalihan untuk meredakan tekanan. Jika kucing anda berasa cemas, ia mungkin mengarahkan tingkah laku menjilatnya kepada anda sebagai cara untuk mengatasi kebimbangan.
KUCING ANDA MEMPUNYAI MASALAH PERUBATAN
Jika kucing anda menjilat secara berlebihan atau tiba-tiba, ia mungkin menunjukkan bahawa terdapatnya masalah perubatan. Keadaan seperti loya, kesakitan, atau ketidakselesaan boleh menyebabkan penjilatan yang semakin kerap. Rujuk doktor haiwan anda jika anda perasan corak menjilat yang luar daripada kebiasaan.
ADAKAH SELAMAT UNTUK MEMBIARKAN KUCING ANDA MENJILAT ANDA?

Walaupun secara umumnya adalah selamat untuk membiarkan kucing anda menjilat anda sekali-sekala, terdapat beberapa risiko yang perlu diambil perhatian. Kucing membawa bakteria di dalam mulutnya yang boleh membawa kepada jangkitan tempatan atau sistemik jika kucing menjilat luka terbuka. Ini amat membimbangkan bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan berisiko lebih tinggi. Anda hendaklah mengelak daripada membiarkan kucing anda menjilat sebarang luka atau kawasan sensitif.
Untuk keselamatan kucing anda, elakkan daripada membiarkan kucing menjilat anda jika anda baru-baru ini menggunakan losyen atau ubat topikal. Produk ini mungkin mengandungi toksin yang boleh memudaratkan jika termakan oleh kucing kesayangan anda.
BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MENGHENTIKAN KUCING ANDA DARIPADA MENJILAT ANDA?
Lidah kucing adalah kasar, berasa seperti kertas pasir kerana cangkuk yang menghadap ke belakang yang direka untuk merapikan bulunya. Walaupun menjilat adalah tingkah laku semula jadi, ia boleh menjadi tidak selesa bagi sesetengah orang. Berikut ialah beberapa petua untuk membantu meminimumkan tingkah laku ini tanpa menjejaskan ikatan anda dengan kucing kesayangan anda:
- Pakai pakaian berlengan panjang atau tutup kulit anda dengan tuala semasa berinteraksi dengan kucing anda untuk mengurangkan sentuhan langsung.
- Alihkan perhatian kucing anda dengan mainan yang menarik. Mainan interaktif boleh membuatkan kucing anda sibuk dan mengurangkan keinginan untuk menjilat anda.
- Tiang cakaran juga boleh berfungsi sebagai pengalih perhatian yang hebat, menawarkan kedua-dua rangsangan fizikal dan mental.
- Gunakan snek kucing Sheba yang lazat sebagai pengukuhan positif apabila kucing anda berhenti menjilat. Ini akan membantu kucing mengaitkan penghentian tingkah laku dengan pengalaman yang memberikannya ganjaran.
Jangan sesekali menghukum kucing anda kerana menjilat, kerana ini boleh menyebabkan kebimbangan dan merosakkan perhubungan anda. Sebaliknya, gunakan teknik lembut ini untuk melencongkan tingkah laku kucing. Menjilat adalah salah satu cara kucing anda menunjukkan kasih sayang. Selain daripada menggeselkan kepala, tidur di atas anda, berpelukan, dan menyambut anda di depan pintu, kucing mempunyai banyak cara untuk menunjukkan bahawa anda adalah manusia kegemarannya.
Walau bagaimanapun, jika kucing anda menjilat anda secara berlebihan dan menunjukkan tanda-tanda penyakit atau tekanan lain, adalah penting untuk merujuk dengan doktor haiwan. Memahami mengapa kucing menjilat orang boleh membantu anda lebih menghargai ungkapan kasih sayang kucing yang unik ini.