Jangkitan kulat pada kucing merupakan masalah kesihatan biasa yang boleh menjejaskan kulit, paru-paru, malah organ dalaman kucing. Jangkitan ini disebabkan oleh kulat yang terdapat dalam persekitaran, dan sesetengahnya juga boleh berjangkit pada manusia. Kucing yang lemah sistem imun atau yang meluangkan masa di luar rumah lebih berkemungkinan mendapat jangkitan kulat.

Kulat hidup dalam tanah dan boleh memasuki tubuh kucing melalui pernafasan, makanan, atau melalui luka pada kulit. Banyak kucing yang boleh melawan jangkitan ini, namun kucing yang mengalami tekanan atau yang sakit mungkin tidak dapat melawannya. Walaupun sesetengah penyakit kulat kucing adalah ringan dan mudah dirawat, sesetengah yang lain boleh menjadi serius jika tidak ditangani. Oleh itu, penting bagi anda memberikan perhatian terhadap sebarang gejala yang luar biasa pada kucing anda dan dapatkan nasihat doktor haiwan jika perlu.

JANGKITAN KULAT YANG BIASA PADA KUCING

  • KURAP

    Kurap ialah penyakit kulat kucing yang paling kerap menjejaskan kulit. Dalam bahasa Inggeris, kurap dipanggil “ringworm”, namun kurap sebenarnya disebabkan oleh kulat, bukan cacing (“worm”). Kurap kelihatan seperti lesi berbentuk cincin, namun coraknya boleh berbeza. Kucing yang mengalami jangkitan kurap boleh menjangkitkannya kepada kucing lain, walaupun tanpa menunjukkan sebarang gejala. Rawatan lazimnya melibatkan krim antikulat atau ubat-ubatan oral, manakala persekitaran yang bersih dapat membantu mencegah jangkitan.

  • ASPERGILLOSIS

    Aspergillosis ialah jangkitan kulat yang kurang lazim pada kucing, yang menjejaskan terutamanya sistem pernafasan. Aspergillosis dapat dilihat melalui gejala seperti rembesan hidung dan bersin. Jangkitan ini berlaku akibat menghidu spora kulat yang terdapat di persekitaran. Rawatan merangkumi ubat antikulat dan kadangkala pembedahan untuk membuang tisu yang terjejas. Penjagaan segera oleh doktor haiwan adalah penting untuk menguruskan masalah ini dengan berkesan.

  • CRYPTOCOCCOSIS

    Cryptococcosis disebabkan oleh kulat Cryptococcus dan seringkali menyasarkan sistem pernafasan, dan boleh mengakibatkan masalah saraf. Kulat ini lazimnya ditemui dalam tanah dan najis burung, terutamanya burung merpati. Gejalanya boleh termasuk kesukaran bernafas dan masalah koordinasi. Rawatan memerlukan ubat antikulat, dan intervensi awal adalah penting bagi mengelakkan komplikasi yang serius.

  • SPOROTRICHOSIS

    Sporotrichosis yang juga dikenali sebagai penyakit kucing sporo ialah sejenis kulat yang lebih kerap menjangkiti kucing berbanding spesies lain. Penyakit ini disebabkan oleh spora Sporothrix schenckii, yang boleh menjangkiti kulit, sistem pernafasan, tulang, malah otak kucing. Penyakit kucing sporo boleh merebak kepada kucing lain melalui pendedahan terhadap sporo kucing dalam tanah atau malah melalui cakaran kucing yang telah dijangkiti, menyebabkan luka sporo kucing. Jika anda nampak tanda awal sporo kucing seperti bengkak atau lesi, anda perlu membawa kucing anda berjumpa doktor haiwan.

  • BLASTOMYCOSIS DAN HISTOPLASMOSIS

    Jangkitan kulat ini lazimnya menjejaskan organ dalaman kucing dan berjangkit melalui pendedahan kepada tanah yang tercemar. Blastomycosis biasanya menyerang paru-paru, dan boleh mengakibatkan pneumonia serta masalah kulit. Histoplasmosis menjejaskan sistem pernafasan dan pencernaan. Kedua-dua jangkitan ini memerlukan rawatan antikulat yang agresif, dan pemulihan bergantung pada keparahan serta kecepatan diagnosis. Pengurusan tanah dan alam sekitar yang betul boleh membantu mengurangkan risiko pendedahan.

GEJALA JANGKITAN KULAT PADA KUCING

Jangkitan kulat pada kucing boleh menyebabkan pelbagai jenis gejala, bergantung pada sama ada penyakit itu berkaitan dengan kulit atau sistem. Jangkitan luaran kebanyakannya menjejaskan kulit dan bulu kucing, manakala jangkitan yang lebih teruk boleh melibatkan organ dalaman, mengakibatkan pelbagai gejala yang bukan berkaitan kulit:

GEJALA LUARAN:

  • Bulu gugur: Kucing mungkin mengalami tompok-tompok botak yang tidak sekata akibat jangkitan kulat pada kulit.
  • Kemerahan dan bersisik: Kulit mungkin menjadi merah dan bersisik.
  • Kuping: Kuping boleh terbentuk pada permukaan kulit.
  • Peningkatan pigmentasi: Kawasan pada kulit mungkin jadi lebih gelap.
  • Bernanah: Gelembung atau lepuh berisi nanah mungkin muncul.
  • Nodul dan salur aliran: Jangkitan yang lebih teruk boleh mengakibatkan benjolan di bawah kulit dan saluran yang mengeluarkan cecair.
  • Jangkitan bakteria kedua: Jangkitan ini sering berlaku bersampingan dengan jangkitan kulat, lantas merumitkan rawatan.

GEJALA BUKAN BERKAITAN KULIT:

  • Demam: Peningkatan suhu badan merupakan tanda biasa jangkitan sistem.
  • Kelesuan: Kucing yang dijangkiti mungkin kelihatan lebih letih atau tidak aktif daripada biasa.
  • Kesukaran bernafas: Masalah pernafasan boleh berlaku sekiranya jangkitan itu menjejaskan paru-paru.
  • Batuk: Batuk yang berterusan mungkin berlaku, menunjukkan penglibatan paru-paru.
  • Turun berat badan: Kucing mungkin turun berat badan kerana selera berkurangan atau penyakit sistemik.
  • Buta: Dalam kes yang lebih parah, jangkitan boleh mengakibatkan masalah penglihatan atau buta.
  • Sawan: Penglibatan saraf mungkin menyebabkan sawan, dan menunjukkan keadaan yang lebih serius yang memerlukan perhatian segera.

BAGAIMANAKAH JANGKITAN KULAT PADA KUCING MEREBAK?

Jangkitan kulat pada kucing boleh merebak melalui pelbagai saluran, maka penting bagi pemilik kucing memahami cara jangkitan ini tersebar bagi mengurangkan risiko. Berikut adalah beberapa cara biasa jangkitan ini boleh merebak:

  • Sentuhan langsung: Jangkitan kulat boleh merebak apabila seekor kucing yang dijangkiti bersentuhan dengan kucing yang sihat. Perkara ini biasanya berlaku melalui interaksi langsung kulit atau bulu, tempat spora kulat dipindahkan, seterusnya boleh membentuk jangkitan pada kucing yang sihat.
  • Penyebaran persekitaran: Spora kulat boleh hidup dengan baik dalam persekitaran termasuk pada perabot, permaidani dan tilam. Kucing boleh terkena spora ini dengan menyedut atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar, mengakibatkan jangkitan yang sukar dikawal.
  • Ruang bersama: Dalam sebuah rumah atau tempat perlindungan yang menempatkan berbilang haiwan peliharaan, risiko jangkitan kulat meningkat kerana kulat boleh tersebar dengan cepat. Persekitaran bersama ini memberikan banyak peluang kepada kulit beralih dari satu haiwan ke haiwan lain, terutamanya dalam keadaan yang sempit dan tidak bersih.
  • Jangkitan antara manusia dengan haiwan lain: Sesetengah kulat adalah zoonotik dan boleh berpindah antara kucing dengan manusia, meningkatkan lagi risiko jangkitan. Haiwan yang dijangkiti mungkin menyebarkan spora kulat kepada manusia, menekankan lagi kepentingan kebersihan dan langkah-langkah pencegahan dalam persekitaran tempat haiwan dan manusia berinteraksi secara rapat.

BAGAIMANAKAH CARA MENCEGAH JANGKITAN KULAT PADA KUCING?

Mencegah jangkitan kulat pada kucing sebahagian besarnya bergantung pada mengekalkan persekitaran yang bersih, menyokong kesihatan imun, dan meminimumkan pendedahan terhadap faktor risiko. Berikut adalah beberapa strategi berkesan bagi membantu mencegah jangkitan ini:

  • Kebersihan diri yang betul: Mengekalkan kebersihan adalah penting dalam mencegah jangkitan kulat pada kucing. Bersihkan tempat tidur kucing, tandas kucing serta alat merias kucing dengan kerap untuk menghapuskan spora kulat. Kerap merias dan sekali-sekala memandikan kucing membantu membuang kekotoran dan spora yang mungkin mengandungi kulat, lantas mengurangkan risiko jangkitan. Menggunakan bahan pensanitasi yang selamat untuk haiwan peliharaan pada mangkuk makanan, sangkar dan mainan juga dapat membantu menghapuskan bakteria dan kulat, lantas mencipta persekitaran yang lebih sihat untuk haiwan peliharaan anda.
  • Membela kucing dalam rumah: Mengurangkan pendedahan kepada persekitaran luar rumah jelas dapat mengurangkan risiko kucing anda bersentuhan dengan tanah tercemar atau haiwan yang membawa jangkitan kulat. Kucing indoor kurang berkemungkinan berdepan dengan faktor luaran yang menyumbang kepada penyakit kulat, seperti haiwan yang dijangkiti serta spora dalam persekitaran. Menyediakan aktiviti dan kawasan bermain yang selamat dalam rumah dapat membantu kucing anda kekal aktif dan puas sambil meminimumkan risiko.
  • Menggalakkan kesihatan imun: Sistem imun yang sihat merupakan pertahan pertama kucing anda melawan jangkitan. Memberi kucing diet yang seimbang dan berkhasiat serta memastikan kucing anda diperiksa dengan kerap oleh doktor haiwan adalah penting dalam mengekalkan kesihatan imun kucing. Suplemen atau diet khusus mungkin disarankan oleh doktor haiwan bagi menguatkan pertahanan semula jadi kucing anda dan membantu mengalahkan jangkitan kulat sebelum bertambah buruk.
  • Pemeriksaan yang kerap dengan doktor haiwan: Mengunjungi doktor haiwan dengan kerap adalah penting untuk pengesanan awal dan pencegahan jangkitan kulat, terutamanya bagi kucing yang diketahui mempunyai faktor risiko. Pemeriksaan tahunan disarankan bagi memantau kesihatan kucing anda secara keseluruhannya dan menangani sebarang masalah yang timbul dengan segera. Doktor haiwan juga boleh memberikan panduan tentang strategi pencegahan khusus yang sesuai dengan gaya hidup kucing anda serta keperluan kesihatannya.

Jangkitan kulat pada kucing mungkin membimbangkan, namun seringkali boleh diuruskan sekiranya dikesan dari awal dan diberi penjagaan yang betul. Dengan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kucing anda, memberinya diet yang berkhasiat untuk mengukuhkan sistem imun, serta memastikan pemeriksaan doktor haiwan yang kerap dibuat, anda boleh mengurangkan dengan ketara risiko si comel anda mendapat jangkitan yang menjengkelkan ini. Ingat, pendekatan berjaga-jaga dan proaktif bukan sahaja membantu dalam menangani masalah kesihatan, tetapi juga memastikan si comel anda kekal gembira dan sihat, sedia untuk berkongsi lebih banyak detik indah dengan anda.

Artikel berkaitan: